Sunday, May 23, 2010

Seruan Shalat

> Sentuhkan dahimu ke sejadah
> Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
> Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
> Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
>
> Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
> Dengan kain kafan yang serba putih
> Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
> Walaupun orang yang hadir itu merintih
>
> Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
> Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
> Dengan empat kali takbir dan satu salam
> Berserta Fatihah, Selawat dan doa
> Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
>
> Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
> Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
> Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
> Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput? Sungguh
> tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
>
> Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
> Usunglah dirimu ke tikar solat
> Sebelum kamu diusung ke liang lahad
> Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
>
> Iringilah dirimu ke masjid
> Sebelum kamu diiringi ke Pusara
> Tangisilah dosa-dosamu di dunia
> Karena tangisan tidak berguna di alam baqa'
>
> Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
> Sadarlah kamu sebelum kamu disadarkan
> Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan
> Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
>
> Karena ianya berguna untuk yang tinggal
> Bukan yang pergi
> Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
> Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
> Ingatlah di mana saja kamu berada
> Kamu tetap memijak bumi Tuhan
> Serta menikmati rezeki Tuhan
>
> Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
> Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
> Ingatlah kamu dahulu hanya setetes air yang tidak bererti
> Lalu menjadi segumpal darah
> Lalu menjadi segumpal daging
> Lalu daging itu membaluti tulang
> Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai arti
> Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
> Yang kalau jatuh ke tanah
> Ayam tak patok itik tak sudu
> Tapi Allah mengangkatmu ke suatu derajat
> Yang lebih agung dari malaikat
> Lahirmu bukan untuk dunia
> Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
>
> Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
> Dengan penuh rela dan bersedia
> Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
> Jalan kemenangan akhirat dan dunia
>
> Ingatlah yang kekal ialah amal
> Menjadi bekal sepanjang jalan
> Menjadi teman di perjalanan
> Guna kembali ke pangkuan Tuhan
>
> Pada hari itu tiada berguna Harta, tahta dan putera
> Isteri, credit card dan kendaraan
> Kondominium, saham dan niaga
> Kalau dahi tak menyentuh sajadah di dunia

No comments: